

RAWANG: Malang sungguh nasib seorang bayi lelaki yang baru beberapa jam dilahirkan apabila ditinggalkan dalam keadaan bogel dengan hanya beralaskan daun pisang oleh ibu kandungnya sendiri di belakang sebuah rumah di Jalan Mawar 6, Taman Mawar, Rawang di sini, pagi semalam.
Perbuatan tidak berperikemanusiaan remaja berusia 18 tahun itu yang bekerja sebagai pembantu sebuah kedai kain di bandar ini bagaimanapun menjerat dirinya sendiri apabila dia ditahan polis selepas seorang penduduk membuat laporan mengenai penemuan bayi berkenaan yang masih bertali pusat sejam selepas bayi itu ditinggalkan di belakang rumahnya, kira-kira jam 10 pagi.
Ketika ditahan, remaja berkenaan berada dalam keadaan lemah dan letih dipercayai kerana baru melahirkan anak dalam sebuah bilik di rumah ibu saudaranya di kawasan sama.
Difahamkan, remaja terbabit menumpang di rumah ibu saudaranya di sini selepas dia didapati mengandung hasil hubungan seks dengan teman lelakinya yang dikenali sejak Oktober tahun lalu dan sepanjang perkenalan itu, mereka dikatakan sudah dua kali melakukan persetubuhan haram.
Bagaimanapun, sejurus mengetahui remaja itu mengandung, teman lelakinya yang selama ini dikatakan hanya mengambil kesempatan selepas menabur janji dan ungkapan cinta, menghilangkan diri.
Difahamkan, teman lelakinya enggan bertanggungjawab menyebabkan kehidupan remaja terbabit terumbang-ambing sebelum dia mengambil keputusan menumpang di rumah ibu saudaranya.
Remaja dari Taman Puchong Permai, Puchong, dekat sini itu terpaksa menumpang di rumah ibu saudaranya untuk mengelak jiran mengetahui dia mengandung.
Bayi berkenaan dipercayai baru dilahirkan beberapa jam sebelum ditemui seorang penduduk selepas dia mendengar tangisan ketika melalui kawasan berkenaan, sebelum memaklumkannya kepada polis.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, susulan laporan itu, anggota Unit Peronda Polis (MPV) Rawang bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati bayi terbabit masih hidup dan cukup sifat.
“Hasil siasatan dan beberapa maklumat yang diperoleh, polis menahan seorang remaja berusia 18 tahun yang dipercayai ibu kepada bayi terbabit kira-kira jam 11 pagi.
“Suspek ditahan di rumah ibu saudaranya yang berusia 40-an,” katanya.
Menurutnya, ketika ditemui bayi malang itu dalam keadaan sihat dan tidak ada kesan lebam atau luka di badannya kecuali hanya sedikit kesan gigitan serangga.
“Kami percaya bayi itu hasil hubungan terlarang suspek bersama teman lelakinya yang dilahirkan di rumah saudaranya itu dan polis tidak menolak kemungkinan ada individu lain membantu membuang bayi terbabit.
“Polis akan mengambil keterangan ibu saudara suspek yang berkemungkinan besar bersubahat dalam kes pembuangan bayi itu dan gerakan mengesan teman lelakinya dijalankan bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan, manakala bayi dan suspek dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan susulan berikutan bimbang terdapat kecederaan dalaman pada bayi terbabit.
Sementara itu, Harian Metro difahamkan remaja terbabit kurang bergaul dengan penduduk di kawasan itu dan beberapa jiran memaklumkan mereka pernah ternampak suspek, namun tidak mengetahui yang dia mengandung hasil hubungan sulit dengan teman lelakinya.
sumber HARIAN METRO.

[ZINA!! ZINA!! HENTIKAN ZINA.. JANGAN HAMPIRI ZINA!! Orang yang berzina patut di hukum rejam. Apakah tindakan pemerintah negara untuk mencegah aktiviti perzinaan ini, sehingga kes pembuangan bayi semakin meningkat? Bagaimana nasib anak malang ini bila besar nanti, bila mereka tahu yang mereka adalah anak ZINA? Anak ni nak ber 'bin' /'binti' kan siapa? takkan nak ber bin/binti kan pokok pisang?]
Di Malaysia, anak luar nikah dalam maksud pendaftaran kelahiran terdiri daripada kanak-kanak yang dilahirkan oleh pasangan ibu bapa yang tidak berkahwin tetapi maklumat dimasukkan ke dalam daftar dan sijil kelahiran. Pendaftaran tersebut dibuat di bawah peruntukan pendaftaran kelahiran anak tidak sah taraf.
Ada sesuatu yang luar biasa pada sijil kelahiran anak tidak sah taraf. Nombor sijil yang lazimnya tertera di bahagian kanan dokumen, dicetak di bahagian bawah. Ini menunjukkan bahawa pemiliknya tidak mengetahui ayah kandungnya.
STATISTIK
Berdasarkan kepada laporan rasmi, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008.
Ini bermakna secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat!
Amat menyedihkan kerana menurut statistik pendaftaran kelahiran kelahiran anak luar nikah dalam tempoh 4 tahun sahaja (1999-2003) 30,978 dari 70,430 (44%) orang bayi tidak sah taraf yang dilahirkan adalah anak orang ISLAM.
Pecahan mengikut negeri:
Selangor = 12,836 orang
Perak = 9,788 orang
Kuala Lumpur = 9,439 orang
Johor = 8,920 orang
Sabah = 8,435 orang
Negeri Sembilan = 4,108 orang
Pahang = 3,677 orang
Kedah = 3,496 orang
Pulau Pinang = 3,412 orang
Melaka = 2,707 orang
Kelantan = 1730 orang
Perlis = 691 orang
Sarawak = 617 orang
Terengganu = 574 orang
JUMLAH = 70,430 orang.