Nuffnang

Thursday, September 4, 2014

Gempar cahaya dari langit

Kota Kinabalu: Kemunculan cahaya merah di langit yang jelas dilihat selama beberapa minit bukan saja menyebabkan orang ramai panik, malah ada antaranya pantas membuat pelbagai andaian termasuk mendakwa kejadian itu disebabkan oleh meteor atau tahi bintang.
Difahamkan, cahaya merah pegun itu mula jelas kelihatan sekitar Penampang dan Putatan bermula jam 7 malam semalam, sebelum mulai kabur dan akhirnya hilang begitu saja kira-kira jam 10 malam. 
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Winnie, 22, berkata, dia menyedari fenomena itu ketika memandu kereta untuk pulang ke rumahnya, kira-kira jam 9 malam. 

“Ketika itu, saya memandu ke Tanjung Aru dan orang ramai keluar dari rumah selain ada yang membanjiri kawasan pantai.

“Saya memberhentikan kenderaan dan melihat satu garisan terang di langit dan menyangkakan ia adalah tahi bintang,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Winnie berkata, keadaan itu agak berbeza kerana kebiasaannya cahaya dicetuskan tahi bintang akan bergerak, tetapi cahaya berkenaan kelihatan pegun. 

Wanita ‘malam merdeka’ diminta tampil

Kuala Lumpur: Wanita tempatan yang muncul bogel sebelum gambarnya tersebar melalui laman sosial Facebook (FB) sejak kelmarin diminta membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan terperinci dilakukan.
Wanita dipercayai berusia 20-an itu sebelum ini mencetuskan kegemparan apabila terdapat tulisan ‘Malam Merdeka’ pada gambar lucah yang tersebar. 

Gambar berkenaan yang turut dikongsi ramai pemilik FB mencetuskan rasa kurang senang apatah lagi wanita itu tampil memakai tudung. 

Gambar itu turut dipercayai dirakam bersama seorang lelaki di dalam sebuah bilik berdasarkan gambar tangan seorang lelaki yang meraba wanita itu.

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) Datin Asmawati Ahmad berkata, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius penyebaran gambar lucah itu yang jelas menyalahi undang-undang.

Menurutnya, wanita itu yang mungkin mangsa perbuatan pihak tidak bertanggungjawab perlu tampil membuat laporan polis secepat mungkin sekiranya dia dirogol atau sebaliknya. 

“Polis kemudian akan melakukan siasatan dan mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang. 

“Polis juga menyeru masyarakat tidak berkongsi dan menyebarkan apa sahaja bahan tidak senonoh di dalam media sosial yang boleh mengaibkan pihak tertentu sehingga menimbulkan kegusaran awam,” katanya. 

Dia menyifatkan kegiatan penyebaran gambar seumpama itu hanya akan memalukan mangsa selain menyebabkan ia menjadi ikutan golongan remaja.

Tuesday, September 2, 2014

Ubat Nyamuk Limau Nipis

Sangat sesuai untuk di letakkan di bawah buai bayi yang sedang tidur. Nak bagi ubat nyamuk biasa tu ada asap, yang elektrik tu pulak takut ada bahan kimia yang bahaya untuk bayi. Yang ni paling selamat dan tradisional.

Cara membuatnya, tengok dalam gambar pun dah tau caranya.. cucuk je cengkih kat limau tu. Jadi dah.. Boleh cuba!


Jurugambar NST ditumbuk keluarga mangsa MH17

Pusat Peringatan Nirvana Sungai Besi di sini kecoh apabila seorang jurugambar akhbar New Straits Times ditumbuk oleh seorang kenalan ahli keluarga mangsa MH17.

Seorang lelaki dipercayai kenalan ahli keluarga mendiang Subashni Jretnam dikatakan bertindak demikian bagi menghalang Aizuddin Saad mengambil gambar mereka.


Aizuddin dilaporkan cedera ringan dan kameranya rosak akibat kejadian itu. Sebelum itu, wakil-wakil media dilarang keras dan dihalau oleh ahli keluarga Subashni daripada membuat liputan.


Ia mungkin disebabkan serbuan secara beramai-ramai jurugambar yang bertugas menimbulkan rasa tidak disenangi ahli keluarga yang dilanda kesedihan akibat kehilangan orang kesayangan dalam tragedi MH17.--MalaysiaGazette


Ini kejadian yang tidak mahu kita lihat, tapi jadi di Pusat Peringatan Nirvana di Sungai Besi pagi Selasa.


Apabila petugas media, jurugambar New Straits Times, Aizuddin Saad ditumbuk oleh salah seorang waris keluarga mangsa nahas pesawat MH17.


Kejadian dikatakan berlaku sejurus selepas jasad Paul Goes, Subashni J.Retnam dan Kaelamayajay Goes (21 bulan) tiba di Pusat Peringatan Nirvana di Sungai Besi.


Beliau cedera di muka dan kemeranya pecah, ini kejadian pertama petugas media dipukul ketika menjalankan tugas berkaitan memperingati mangsa MH17.-2/9/2014 


PETALING JAYA: Seorang petugas media yang membuat liputan kepulangan jenazah nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH17 mengalami kecederaan selepas dipercayai dipukul oleh ahli keluarga mangsa di Pusat Peringatan Nirvana Sungai Besi dekat sini pada Selasa.


Jurugambar daripada kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Aizuddin Saad dipercayai ditumbuk oleh seorang lelaki dipercayai kenalan ahli keluarga mendiang Subashni Jretnam.


Lelaki itu dikatakan bertindak demikian bagi menghalang Aizuddin Saad mengambil gambar mereka. 


Aizuddin dilaporkan cedera ringan dan kameranya rosak akibat kejadian itu. Sebelum itu, wakil-wakil media dilarang keras dan dihalau oleh ahli keluarga Subashni daripada membuat liputan.


Punca sebenar mungkin disebabkan serbuan secara beramai-ramai jurugambar yang bertugas menimbulkan rasa tidak disenangi ahli keluarga yang dilanda kesedihan akibat kehilangan orang kesayangan dalam tragedi MH17.


Difahamkan, orang ramai termasuk petugas pusat peringatan berkenaan berjaya meredakan keadaan.


Aizuddin kemudian dihantar ke sebuah klinik berdekatan oleh kakitangan pusat peringatan itu untuk mendapatkan rawatan.




Monday, September 1, 2014

GURU TAMPAR PELAJAR PERTAHANKAN DIRI


GURU NAFI TAMPAR PELAJAR, DAKWA SI BAPA BUAT CERITA | Semalam Harian Metro melaporkan bapa kepada seorang pelajar mendakwa anaknya ditampar oleh guru bahasa inggeris sehingga meninggalkan kesan di pipi kanan anaknya hanya kerana gagal menyiapkan kerja sekolah. 



Bagaimanapun, guru terbabit menafikan dakwaan tersebut dan mendedahkan punca sebenar yang berlaku pada pelajar tersebut. 

Hasil siasatan mendapat, pelajar berkenaan mengalami alergik setelah dibawa berjumpa dengan doktor untuk membuat pemeriksaan. 
Menurut sumber, guru terbabit telah memfailkan saman malu terhadap ibu bapa pelajar berkenaan kerana memfitnahnya tanpa sebarang bukti kukuh. 

Sumber turut mendedahkan pelajar tersebut sememangnya terkenal dengan sikapnya yang nakal. Pada hari kejadian, pelajar berkenaan menumbuk papan putih serta berlari dalam kelas. Gurunya marah kerana dia berlari tetapi tidak pula menampar pelajar itu seperti yang didakwa. 

Menurut seorang ustaz yang bertugas di sekolah itu, kesan lebam di pipi pelajar itu sememangnya telah ada semenjak hari isnin. Namun kesan lebam itu hilang semasa ibu bapanya membuat laporan polis.


Dua kereta bertembung, terhumban dalam sungai


Orang ramai melihat kereta yang terjunam ke dalam sungai Kampung Sakan. - Foto FB Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia

ALOR SETAR - Dua kereta yang bertembung dari arah bertentangan di Kampung Sakan, Jalan Kampung Gerigis dekat sini terhumban ke dalam sungai.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 1 petang apabila kenderaan yang datang dari arah bertentangan cuba mengelak dari bertembung menyebabkannya hilang kawalan berikutan laluan berkenaan sempit.

Bagaimanapun, empat mangsa berumur 30 hingga 50 tahun itu hanya cedera ringan dan berjaya diselamatkan orang ramai yang melalui kawasan berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja, Penolong Penguasa Mohd Izham Abd Rahim berkata, 15 anggotanya dengan kerja menyelamat.

"Kami menerima panggilan kecemasan kira-kira setengah jam selepas kejadian dan bergegas ke lokasi.

Semua mangsa diselamatkan orang ramai dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Tekup mulut anak sampai mati

  • Lokasi mayat kanak-kanak itu ditanam selepas dibunuh.



BUKIT KATIL - Sepasang kekasih sanggup menanam anak mereka di belakang rumah apabila kanak-kanak berusia dua tahun itu tidak lagi bernafas selepas ditekup mulutnya, di sebuah rumah teres di Taman Bayan, di sini.

Perbuatan kejam yang dirahsiakan selama enam bulan itu bagaimanapun terbongkar selepas pasangan terbabit ditahan sepasukan polis berkaitan dadah dalam serbuan di sebuah rumah kira-kira jam 2 pagi di Sungai Mati, Muar, Johor, semalam.

Menurut sumber, rangka kanak-kanak lelaki yang dibalut dengan kain batik ditemui ditanam di dalam tanah yang sudah hitam seperti terbakar di dalam lubang sedalam kira-kira 0.3 meter di belakang rumah teres dua tingkat itu.

“Siasatan awal mendapati suspek lelaki itu, terbabit dalam kes curi kenderaan milik bapa saudaranya, seorang pesara tentera berusia 50-an, yang turut memberi keterangan memaklumkan cucu saudaranya itu dipercayai dibunuh suspek.

“Bapa saudara suspek memberikan maklumat itu selepas ibu kanak-kanak berkenaan yang pada awalnya mengaku anaknya dijaga ibu saudara, membongkar tindakan kejam kekasihnya dengan menceritakan kejadian sebenar selepas didesak,” katanya.

Menurutnya, suspek mendakwa mangsa ditanam di belakang rumah Februari lalu selepas tinggal bersama di rumah yang disewa sejak awal 2014.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Razali Abu Bakar berkata, suspek berusia 25 tahun dan pasangannya berusia 24 tahun itu dibawa ke lokasi untuk membantu siasatan.

“Rangka mangsa ditemui di dalam tanah yang ditanam berhadapan pintu belakang rumah itu selepas ia digali semula sepasukan anggota jam 7 pagi, semalam.

“Rangka itu ditemui berbalut dengan kain batik dan siasatan awal suspek lelaki itu mengaku membunuh anaknya dengan menekup mulut mangsa sehingga lemas,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, punca dan motif kejadian masih disiasat namun kedua-dua suspek ditahan reman sehingga Sabtu depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, jiran mangsa dikenali sebagai Liza, 30-an, berkata pasangan itu yang menyewa kira-kira sebulan di situ mengaku sudah berkahwin dan kali terakhir dilihat tinggal di rumah terbabit antara Februari sehingga Mac lalu.

Dua siswi bernafsu songsang dicekup



JOHOR BAHRU - Dua penuntut wanita institut pengajian tinggi awam (IPTA) ditahan Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) dalam serbuan operasi Ambang Merdeka, awal pagi semalam.

Meskipun pada mulanya tiada sebarang syak untuk mendakwa kedua-duanya melakukan khalwat, namun serbuan dilakukan akhirnya membongkar rahsia pasangan lesbian atau dalam Islam disebut sebagai musahaqah itu.

Serbuan sekitar jam 12.45 pagi yang dilakukan sembilan anggota dan pegawai, diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Jaij, Mohd Zamri Kambari itu menemui alat kelamin lelaki tiruan di dalam bilik berkenaan.

Ketika diketuk untuk melakukan pemeriksaan, seorang daripada mereka berpakaian lengkap memberi kerjasama dengan membuka pintu bilik hotel, manakala seorang lagi berada dalam bilik air dalam keadaan tanpa seurat benang.

Selepas anggota operasi memperkenalkan diri, kedua-dua penuntut IPTA berusia masing-masing berusia 20 dan 21 tahun itu hanya terdiam malah tergamam apabila bilik hotel dihuni mereka diserbu pihak berkuasa.

Ketika disoal siasat, salah seorang daripada mereka mendakwa alat kelamin lelaki tiruan terbabit baharu sahaja dibuka dari paket dan belum dicuba, sebaik sahaja diterima hasil pembelian secara ‘online’.

Zamri berkata, pasangan penuntut terbabit ditahan pihaknya mengikut Seksyen 26 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 (Negeri Johor) kerana disyaki melakukan musahaqah.

“Mengikut enakmen ini, mana-mana orang perempuan yang melakukan musahaqah jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu,” katanya.

Mohd Zamri berkata, pelbagai peralatan lain termasuklah komputer riba milik pasangan penuntut wanita terbabit dirampas dalam serbuan itu.

Mereka merupakan antara lapan pasangan yang ditahan dalam serbuan Operasi Ambang Merdeka bermula 11 malam hingga 3.30 pagi di sekitar Taman Gaya, Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram, Taman Desa Cemerlang dan Taman Johor Jaya.

Kesemua pasangan yang ditahan, dibawa ke Balai Polis Johor Jaya untuk proses dokumentasi sebelum dibawa ke pejabat JAIJ untuk tindakan lanjut.

Sanggup mengaku bukan Islam



jOHOR BAHRU - Seorang wanita warga Singapura tergamak mengakui dirinya bukan beragama Islam bagi mengelak dirinya dicekup bersama pasangannya dalam serbuan Ops Ambang Merdeka, semalam.

Wanita terbabit ditahan kerana disyaki berkhalwat bersama seorang lelaki bukan Islam dalam serbuan Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) di sebuah hotel sekitar Taman Johor Jaya.

Ketika disoal anggota operasi mengenai agamanya, dengan selamba wanita berusia 21 tahun itu mendakwa dirinya bukan Islam meskipun dalam pasport tertera ‘binti’ pada namanya.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Jaij, Mohd Zamri Kambari berkata, pihaknya tetap menahan wanita itu mengikut Seksyen 27 Enakmen

Kesalahan Jenayah Syariah 1997 (Negeri Johor) kerana didapati berkhalwat bersama lelaki yang bukan suami atau mahramnya.

“Melihat kepada alasan diberikan suspek, kita tetap membawanya ke balai polis untuk proses dokumentasi sebelum dibawa ke pejabat agama untuk tindakan susulan.

“Kita juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa di Singapura untuk mengetahui latar belakangnya bagi mendapatkan kebenaran terhadap dakwaan kononnya dia bukan beragama Islam.

“Jadi wanita itu juga kena buktikan juga yang dirinya bukan beragama Islam. Jaij menahannya kerana didapati berkhalwat malah nama tertera pada pasportnya merupakan nama individu Melayu,” katanya.

Sementara itu, keinginan seorang pengurus sebuah syarikat untuk melampiaskan nafsu bersama gadis warga asing, terbantut apabila bilik hotel bajet dihuninya diserbu Jaij.

Lelaki berusia 55 tahun itu ditahan bersama seorang wanita warga Filipina berusia lingkungan 20an dalam serbuan berasingan.

Ketika disoal siasat, lelaki terbabit mendakwa mula memasuki bilik hotel berkenaan sekitar jam 7 malam kelmarin sementara wanita warga asing itu pula hadir kira-kira jam 1 pagi semalam.

Beliau turut mengakui mendapatkan perkhidmatan seks ditawarkan oleh gadis genit warga asing itu pada harga RM200 bagi satu malam.

Janda dicekup berkhalwat


SUNGAI PETANI – Semak dan menjijikkan. Itulah keadaan rumah tumpangan tidak bertanda yang dijadikan lokasi melampiaskan nafsu di Bandar Puteri Jaya, dekat sini, yang  menjadi tumpuan golongan tidak bermoral sempena ambang kemerdekaan semalam.

Keadaan semak-samun dalam rumah terbabit cukup menggerunkan malah tingkap di ruang tamu serta bahagian kiri dan bilik tidur yang pecah hanya ditampal menggunakan kertas putih sahaja.

Hasil maklumat penduduk tempatan, rumah yang sering dijadikan lokasi persinggahan pasangan bercinta tidak kira tua atau muda, musim cuti atau hari biasa, malah saling bertukar pengunjung selang beberapa jam sahaja.

Serbuan yang dijalankan anggota penguat kuasa dari enam agensi terlibat lebih kurang jam 4 pagi mendapati, sepasang kekasih berusia lewat 40-an keluar daripada satu dari empat bilik setelah kira-kira 20 minit rumah itu dikepung.

Janda berusia 48 tahun itu mengakui datang dari Kampung Pokok Tai, Pendang, dan bekerja sebagai tukang cuci di sebuah sekolah serta bersekedudukan dalam sebuah bilik dipercayai suami orang berusia 41 tahun dari Kampung Huma, Sungai Layar.

Pasangan itu mengakui baru berkenalan dalam tempoh dua bulan sebelum keluar makan malam bersama.

Turut ditemui dalam rumah berkenaan, sebuah motosikal dipercayai milik lelaki berkenaan dan sebuah kereta yang diparkir di halaman rumah dipercayai milik wanita terbabit.

Cubaan pasangan larikan diri gagal

Sebelum itu, anggota penguat kuasa yang melakukan serbuan di sebuah hotel bajet di Padang Temusu lebih kurang jam 2.30 pagi terkejut apabila terdengar dentuman kuat kira-kira 20 minit selepas mengetuk pintu sebuah bilik.

Hasil pemeriksaan mendapati bunyi dentuman kuat berpunca daripada tindakan seorang wanita yang nekad melarikan diri dari tingkap hotel bajet bersama teman lelaki, tetapi tersangkut pada atap bumbung sebelum terjatuh ke dalam sebuah kedai bersebelahan.

Tindakan itu bagaimanapun mendatangkan padah setelah wanita itu cedera di kaki sebelum kedua-duanya dicekup anggota penguat kuasa.

Mesra atas motosikal

Terdahulu, sepasang kekasih dilihat melakukan adegan mesra atas motosikal yang diparkir di lokasi tempat letak kenderaan dekat pusat perniagaan Lagenda Heights kira-kira jam 12 tengah malam.

Kedua-duanya yang masih menuntut dilihat berkelakuan tidak sopan boleh dikenakan denda dan diminta hadir ke Pejabat Agama Kuala Muda untuk tindakan selanjutnya.

Serbuan kemudian diteruskan di sebuah hotel di lokasi sama melibatkan pasangan berusia 29 dan 22 tahun dari bandar ini manakala pasangan wanita dari Kota Bharu, Kelantan.

Apabila dicekup, lelaki terbabit hanya berseluar pendek manakala teman wanitanya hanya memakai baju-T lengan pendek dan berseluar pendek.

Turut dicekup seorang penjawat awam dari Bedong bersama kekasihnya iaitu seorang janda juga berasal dari Bedong.

Lebih mengejutkan, janda yang berusia 24 tahun itu sebenarnya orang kurang upaya (OKU) bisu.

21 lokasi panas diserbu

Sementara itu, Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Sheikh Alwi Othman berkata, hasil pemeriksaan terhadap 21 lokasi panas dalam Operasi Merdeka Bersepadu itu mendapati lima kes bersekedudukan, dua kes bernikah di negara jiran dan dua kes berkelakuan tidak sopan.

Kesemua 56 anggota terdiri daripada kakitangan Pejabat Agama Daerah Kuala Muda, Yan, Sik, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah, Cawangan Penyiasatan Khas Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan.

Katanya, empat kes didapati positif dadah apabila ujian air kencing dilakukan ke atas individu yang diperiksa.

“Kes disiasat bawah Seksyen 5 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) Kedah 1988 iaitu melakukan perbuatan atau berkelakuan tidak sopan di tempat awam waktu siang atau malam yang boleh didenda RM1,000 atau penjara enam bulan atau keduanya sekali jika sabit kesalahan.

“Lima pasangan turut disiasat di bawah Seksyen 9 EKJS Kedah 1988 iaitu bersekedudukan, berkurung, bersembunyi atau bersama wanita bukan isteri atau mahram. Bagi kesalahan itu, denda RM2,000 atau penjara setahun atau ditahan di rumah kebajikan selama tiga tahun boleh dikenakan sekiranya sabit kesalahan,” katanya.

Operasi yang bermula jam 12 tengah malam itu dibahagikan kepada tiga pasukan dan diteruskan sehingga subuh semalam.

Katanya, pemantauan kerap akan terus dilakukan dan pihaknya kini sedang memantau kegiatan di pusat hiburan serta karaoke.

Sisih anak hamil luar nikah tak selesai masalah


SHAH ALAM - Tindakan menyisihkan anak yang hamil luar nikah tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya akan menyumbang kepada gejala yang lebih buruk iaitu kes membuang bayi.

Pendakwah, Datuk Hassan Mahmud berkata, ibu bapa yang berdepan keadaan tersebut mencari jalan sebaik mungkin supaya anaknya bertaubat.

“Jika ibu bapa ambil sikap memulaukan anak, itu yang menyebabkan pembuangan bayi semakin meningkat. Bukan kita sanggup biarkan anak melakukan kesalahan, tapi mereka perlukan kita semasa berdepan masalah.

“Sebagai ibu bapa mungkin selain daripada menghantar ke sekolah yang menjaga remaja hamil luar nikah, mereka boleh cari lelaki yang hamilkan anaknya untuk dikahwinkan. Tapi kalau ibu bapa ambil inisiatif jaga anaknya mungkin lebih baik,” katanya kepada Sinar Harian.

Sejak akhir-akhir ini, banyak kes pembuangan bayi dilaporkan, dengan yang terbaharu mayat seorang bayi lelaki dipercayai baru lahir ditemui di pusat pelupusan sampah di Menggatal, Sabah, minggu lalu.

Hassan mengingatkan, Islam tidak mengajar untuk menjatuhkan hukum terhadap pesalah zina yang mengandung anak luar nikah.

“Zaman Rasulullah SAW dahulu, jika ada yang mengadu dan mahu bertaubat selepas melakukan zina sehingga mengandung anak luar nikah, mereka akan disuruh balik supaya melahirkan anak kemudian datang untuk diberikan hukuman.

“Jadi sebagai ibu bapa, sepatutnya mereka perlu lebih bermuhasabah daripada menghukum kesalahan anak sehingga sanggup menyisihkan mereka,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, didikan agama sangat penting diterapkan daripada peringkat awal supaya anak-anak tidak mudah terjerumus dengan maksiat.

“Tanggungjawab ibu bapa untuk beri didikan agama, sentiasa pantau apa yang anak-anak lakukan. Bukan bersikap ‘sporting’ yang tidak bertempat sehingga membiarkan anak-anak terjebak dengan gejala tidak sihat.

“Memang kita sedar akan pengaruh luaran yang sangat kuat, tetapi jika kita jadikan anak-anak sebagai kawan baik, pastinya banyak perkara tidak elok dapat dihindari,” kata beliau.

Jun lalu, Timbalan Menteri Pembangunan, Wanita dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun dalam sidang Dewan Rakyat berkata, sebanyak 26 kes pembuangan bayi dilaporkan di seluruh negara pada tiga bulan pertama tahun ini.

Beliau berkata, bagi menangani isu pembuangan bayi, kementeriannya kini mempunyai tujuh program antaranya Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan serta Program Pendidikan Kesihatan Reproduksi dan Sosial sebagai aktiviti kokurikulum di sekolah.

Galas gelaran Datin Paduka

Sejak petang kelmarin hati pelakon remaja, Eina Azman, 19, tidak henti-henti berdebar. Namun, tepat jam 9.03 malam kelmarin perasaan itu berakhir apabila dia sah bergelar isteri kepada lelaki yang menjadi pilihan hatinya untuk sehidup semati, Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Harden, 35, dengan sekali lafaz.
Berkaca-kaca mata Eina menahan air mata daripada mengalir ke pipi apabila mengetahui dirinya kini sah menjadi milik Gurmeet atau lebih dikenali dengan nama Datuk Gmix. 

Pasangan itu dinikahkan bapa Eina, Azman Abdullah, 51, disaksikan Imam dan Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Zulkapili Abdul Mutalib. 

Majlis pernikahan yang diadakan di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur itu turut dihadiri keluarga kedua-dua belah mempelai dan rakan rapat.

Pada malam pernikahan bertemakan Bollywood itu, Eina menerima mas kahwin sebanyak RM770, wang hantaran berjumlah RM77,000 serta barang hantaran berupa beg tangan, kasut, sejadah, tepak sirih dan manisan.

Paling menarik, Eina turut menerima sebuah kereta Chevrolet Camaro edisi khas Transformers berharga lebih RM300,000. Kereta berwarna kuning dan hitam seperti digunakan dalam filem berkenaan untuk watak Bumblebee itu yang diletak di depan pintu masuk lobi hotel serta diikat reben itu menarik perhatian orang ramai di situ. 

Cabaran bukan kepalang

Sepang: “Selama 44 hari di sana, ia pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Kami hanya berharap pengurusan jenazah dapat dilakukan sebaik-baiknya dalam menyempurnakan kewajipan fardu kifayah,” kata Imam Besar Masjid Putra, Abdul Manaf Mat.
Beliau menceritakan pengalaman sepanjang mengetuai petugas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam melaksanakan tugas pengurusan jenazah mangsa beragama Islam di Amsterdam yang terbabit dalam nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17. 
ABDUL Manaf (kanan) melihat petugas disambut ahli keluarga di KLIA, semalam.
Abdul Manaf berkata, walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk prosedur yang menyebabkan mereka perlu menunggu lama untuk menguruskan jenazah, beliau bersyukur pasukan terbabit dapat menyempurnakan tugas dengan baik. 


“Kami hanya fikir mahu melaksanakan tuntutan fardu kifayah ini kerana tanggungjawab kami ke sana adalah melaksanakan pengurusan jenazah bermula dengan mandi, kafan dan sembahyang.

“Sebaik menerima jenazah untuk diuruskan, kami berdoa kepada Allah SWT dan alhamdulillah, segala urusan berjalan lancar,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

‘Mabuk’ pandu lalu

Petaling Jaya: Menggunakan konsep jualan arak ‘pandu lalu’. Itu kaedah digunakan premis menjual arak murah kepada golongan lelaki tempatan termasuk golongan belia di sekitar Taman Sri Manja, di sini.
Premis berkenaan terletak di lorong sunyi antara bangunan rumah kedai dikesan menjadi ‘syurga’ golongan kaki botol berikutan harga arak dijual jauh lebih murah berbanding pasaran. 
Tinjauan wartawan Harian Metro sejak seminggu lalu mendapati pemilik premis bebas menjual minuman keras kepada orang awam termasuk pelanggan Melayu serta remaja bawah umur. 

Hasil uji beli dilakukan wartawan, pemilik premis menjual minum keras pada harga cukup murah iaitu RM10 bagi tiga tin minuman keras.

Ia berbeza dengan harga pasaran iaitu sekitar RM7 bagi setin minuman keras.

Dipercayai pemilik premis mampu menjual arak itu pada harga murah berikutan minuman keras itu belum dibayar cukai Kastam Diraja Malaysia (KDRM). 

Kasihan si kucing

Kuala Lumpur: Tanpa perikemanusiaan, seekor kucing menerima azab apabila mulutnya hancur manakala hampir semua giginya patah akibat dipukul kerana kesalahan mencuri ikan untuk mengisi perut.
Kisah seekor kucing dibelasah seorang peniaga sebuah pasar di Selayang, menjadi kemarahan orang ramai kerana tindakan itu disifatkan keterlaluan. 
Difahamkan, kucing berwarna putih oren itu, kini berada dalam jagaan seseorang yang menetap di Kajang.

Presiden Kelab Kucing Malaysia Khalid Rashid menganggap tindakan itu sebagai tidak bertamadun dan melampaui batas.