Nuffnang

Tuesday, November 30, 2010

myMetro | Ustaz’ tarik duit


myMetro | Ustaz’ tarik duit

MANGSA...Amy ketika ditemubual wartawan Harian Metro.
MANGSA...Amy ketika ditemubual wartawan Harian Metro.

JOHOR BAHRU: Hanya kerana ingin hidup mewah, tiga lelaki di Kulaijaya di sini, kerugian RM18,000 selepas terpedaya dengan kelicikan seorang lelaki bergelar ‘ustaz’ yang kononnya mampu menjalankan proses tarik duit dalam satu kejadian, 15 November lalu.

Ustaz berusia 70-an berasal dari Indonesia itu pula ghaib selepas meminta dihantar ke pantai berhampiran dan beberapa hari kemudian sempat menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada mangsa memaklumkan dia sudah berada di negara berkenaan.


Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Amy, 31, berkata, dia terpedaya selepas kagum dengan perwatakan ustaz itu yang sering menggunakan ayat suci al-Quran sebagai dalil ketika menceritakan kisah keupayaannya menarik duit.

“Ustaz terbabit turut memaklumkan dia mahu kami menggunakan wang itu ke jalan kebaikan dan sesen pun tidak boleh digunakan untuk perkara mungkar.


“Ia menguatkan keyakinan kami bahawa ustaz terbabit memang ikhlas membantu dan kerana itu kami sanggup mengeluarkan RM6,000 setiap seorang sebagai modal,” katanya semalam.


Menurut Amy, pada hari pertama upacara yang diadakan di rumah seorang daripada mereka, ustaz terbabit memanggil seorang demi seorang ke dalam bilik gelap dan dikehendaki bersumpah untuk tidak mempersiakan wang diperoleh kelak bagi mengelak ditimpa musibah.

Ustaz terbabit meminta mereka supaya banyak berzikir bagi memudahkan usaha mendapatkan wang terbabit.


“Pada hari ketiga, kami dipanggil sekali lagi oleh ustaz dan terpegun kerana terdapat sejumlah besar wang di dalam balutan kain. Bagaimanapun, kami tidak dibenarkan menyentuh atau mengambilnya.

“Keesokan harinya, dia meminta kami menghantarnya ke pantai berhampiran dengan memberi alasan mahu melakukan sedikit upacara sampingan dan meminta kami menjemputnya pada jam 5.30 petang, hari sama,” katanya.


Mangsa datang semula ke pantai itu pada masa dijanjikan, tetapi lelaki terbabit tiada dan mereka menghubunginya berkali-kali, tetapi telefon bimbitnya dimatikan.


Ketiga-tiga lelaki berkenaan pulang dan menunggu hingga hari ke-10 sebelum memecah masuk bilik dijadikan pusat operasi tarik duit.


“Kami terkejut selepas mendapati barangan digunakan dalam upacara tarik duit itu hangus dan mengeluarkan bau sangat busuk.


“Wang yang kami pegang dalam balutan kain itu juga sudah tiada, sebaliknya yang tinggal hanya lembaran surat khabar,” katanya.

Ntah hapa-hapa je.. Nak duit kerja lah.. Buat MLM ke.. :-)

myMetro | 'Iza harus pergi'

myMetro | 'Iza harus pergi'

KUALA LUMPUR: “Ia mungkin perkara paling bodoh dalam hidup saya, tapi percayalah, saya berjuang untuk mendapat yang terbaik. Saya sayangkan kamu semua, tetapi saya harus pergi.

“Ini mungkin hari paling sukar dalam hidup saya, tetapi saya tidak akan menoleh ke belakang,” luah seorang gadis dalam blognya sebelum menghilangkan diri dipercayai mengikut seorang pensyarah lelaki berusia lewat 50-an ke Kochi di negeri Kerala, selatan India.


Nur Afiza Mohd Mantali, 21, anak keempat daripada lima beradik menulis pesanan berkenaan di dalam blognya sehari sebelum dikesan meninggalkan negara ini dipercayai untuk bersama lelaki terbabit yang juga seorang bekas pensyarah perubatan warga India di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Sarawak.

Menurut abangnya, Zuhaili, 29, mereka sekeluarga kini kebimbangan berikutan adiknya yang mesra dipanggil Iza tidak dapat dihubungi sejak kehilangannya pada 1 November lalu.


Katanya, kegagalan untuk menelefon Iza juga menyebabkan mereka sekeluarga terfikir pelbagai kemungkinan buruk termasuk Iza dijadikan keldai dadah dan lebih teruk akidah gadis itu akan terpesong.


“Saya tak mengenali lelaki itu, tapi ibu (Hasimah Brahim, 48,) memberitahu Iza pernah membawa lelaki terbabit ke rumah di Kuching, Sarawak, pada bulan puasa lalu dengan memperkenalkannya sebagai kawan.

“Iza juga pernah memberitahu adik bongsu mengenai lelaki itu yang didakwanya seorang pensyarah kontrak di sebuah IPT di Sarawak dari tahun 2007 hingga 2009,” katanya yang ditemui di sini, semalam.


Menceritakan kejadian pada 1 November itu, Zuhaili berkata adiknya memberitahu mahu ke rumah kakaknya di Batu 7, Lundu, Sarawak.

“Ibu langsung tidak curiga kerana setiap bulan Iza akan menziarahi rumah kakak. Bagaimanapun, tiga hari kemudian, ibu bimbang Iza langsung tidak menelefon.


“Ibu menghubungi kakak Iza dan terkejut apabila mendapat tahu dia tidak ke rumah berkenaan,” katanya.


Menurutnya, bimbang keselamatan Iza yang ketika itu sudah lima hari tanpa khabar berita, ibunya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pada 5 November lalu.


Zuhaili berkata, dia melakukan pemeriksaan di terminal lapangan terbang dan Jabatan Imigresen sebelum pihak terbabit mengesahkan nama Iza ada dalam rekod senarai penerbangan keluar ke Kochi, India, sehari selepas meninggalkan rumah.


Pemeriksaan lanjut di blog Iza juga, katanya, mendapati gadis berkenaan ada meninggalkan pesanan seolah-olah akan pergi jauh.


Zuhaili berkata, dia juga cuba bertanya mengenai adiknya kepada lelaki itu di laman Facebooknya, tetapi tiada jawapan, malah akaun itu didapati sudah ditutup.


Katanya, bimbang keselamatan adiknya itu, dia merujuk perkara berkenaan ke Wisma Putra dan Kedutaan India di Malaysia, namun masih tiada perkembangan sehingga kini.


“Kami khuatir kesihatan Iza yang menghidap asma akan terjejas. Selama ini, tiada siapa yang tahu dia mempunyai masalah itu kerana Iza hanya rapat dengan ibu, malah masih tidur bersama ibu sehingga sebelum kehilangannya.


“Harapan kami semoga Iza kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat. Itu saja. Kami difahamkan ada satu tempahan tiket yang dibuat atas nama Iza dari Kochi ke Kuching pada 8 April 2011, tapi tak tahu sejauh mana kebenarannya kerana setakat ini belum dapat berhubung dengannya secara langsung,” katanya.


Sehubungan itu, Zuhaili berharap pihak berkuasa membantu dia dan keluarganya membawa pulang adiknya ke negara ini dengan selamat. Sebarang maklumat boleh hubungi beliau di talian 012-8892184.

myMetro | Penarik kereta jerat diri sendiri

myMetro | Penarik kereta jerat diri sendiri

SERDANG: Tindakan seorang penarik kereta memandu kereta mewah Mitsubishi Lancer Evolution 7 yang dicurinya dengan mengekalkan nombor pendaftaran asal kenderaan berkenaan menjerat diri apabila dia dicekup polis.

Suspek seorang lelaki warga tempatan berusia 30-an terbabit ditahan sebaik memasuki kereta itu selepas mengunjungi sebuah spa di Dang Wangi, di sini, awal pagi Ahad lalu.


Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias, berkata kereta berkenaan dilaporkan hilang pada 25 November lalu di sebuah rumah di Sri Kembangan.

Katanya, polis menemui kereta itu di tempat letak kereta spa berkenaan.


“Polis menahan suspek ketika dia berada di dalam kereta berkenaan dan pemeriksaan pada tubuh suspek polis menemui beberapa kunci kereta lain dipercayai dicuri suspek.


“Suspek juga dipercayai melakukan jenayah pecah rumah di kawasan berkenaan ekoran penemuan kunci itu,” katanya ketika ditemui.

Menurut Abd Razak, suspek menunjukkan polis lokasi kereta curi lain disembunyikan, namun hanya menemui sebuah Toyota Alphard yang dilaporkan dicuri di Kawasan Perindustrian Kuchai Lama, dekat sini.


Beliau berkata, kenderaan lain dipercayai sudah dialihkan rakan suspek yang mengetahui lelaki terbabit dicekup.

Katanya, hasil soal siasat polis kemudian menahan dua lelaki berusia 30 dan 40 tahun dipercayai rakan jenayahnya di sebuah rumah di Kuchai Lama pada malam suspek ditahan.


Menurutnya, melalui pengakuan suspek, mereka mencuri kenderaan berkenaan selepas mendapat permintaan pembeli sebelum mencuri kenderaan itu di kawasan letak kereta serta rumah yang dipecah masuk.


Razak berkata, suspek juga memiliki rekod jenayah dadah, pecah rumah dan curi kenderaan.


Katanya, semua suspek kini direman sehingga 5 Disember ini dan disiasat mengikut Seksyen 379 (a) dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan

Nak merasa juga bawa evo..

Monday, November 29, 2010

myMetro | Sujud dakap jenazah suami

myMetro | Sujud dakap jenazah suami
KUALA LUMPUR: Hanya deraian air mata pilu dapat menggambarkan kesedihan seorang isteri ketika mencium mayat suaminya yang berlumuran darah akibat dihempap tunggul pokok tumbang secara tiba-tiba berhampiran Hutan Simpan Bukit Nanas, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, Hayati Husin, 30-an hanya mampu bersujud sambil mendakap kepala suaminya yang ditimpa batang pokok sebesar dua pemeluk.


Sumber polis trafik berkata, kemalangan ngeri itu berlaku apabila Mohd Helmi Hussin, 37, sedang menunggang motosikal bersendirian arah Jalan Raja Chulan, di sini.

Menurutnya, sebatang tunggul pokok setinggi kira-kira 10 meter tiba-tiba tumbang lalu menimpa mangsa yang dipercayai tidak sempat mengelak.


“Difahamkan, mangsa baru saja menghantar isterinya Hayati yang bekerja di sebuah bank tidak jauh dari lokasi kejadian sebelum menaiki motosikal untuk ke tempat kerjanya di sebuah bank berhampiran Jalan Raja Chulan, di sini.


“Namun, selepas beberapa minit menghantar isterinya, mangsa dihempap tunggul pokok yang rebah menyilang di jalan berkenaan. Kejadian itu menyebabkan kepala dan tubuh mangsa cedera parah dan dia mati di lokasi kejadian,” katanya.

Isteri mangsa yang dimaklumkan berhubung kejadian itu oleh rakan sekerja bergegas ke lokasi kejadian.


Suasana di tempat kejadian menjadi pilu apabila Hayati dipapah rakan tidak dapat menahan sebak dan kemudian bersujud sambil mencium kepala suaminya sebagai tanda kasih.

Episod sedih itu turut meruntun hati beberapa anggota polis trafik dan orang ramai yang mengerumuni lokasi kejadian.


Anggota polis trafik bersama anggota bomba dan penyelamat serta kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berusaha memindahkan mayat mangsa selain mengalihkan batang pokok terbabit yang menghalang laluan.


Hayati kemudian turut menaiki kenderaan polis menghantar jenazah suaminya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.


Bapa saudara Hayati yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Ngah berkata, dia menerima panggilan telefon daripada anak buahnya memberitahu mengenai kemalangan kira-kira jam 9 pagi.


Dia yang dalam perjalanan ke Port Dickson, Negeri Sembilan, bergegas pulang ke ibu kota dan terus ke HKL.


Menurutnya, melalui gambar dirakam kawan arwah di tempat kejadian, dia mendapati pokok itu sudah reput. Katanya, kejadian malang itu mungkin dapat dielak jika pihak bertanggungjawab melakukan pemantauan dan menebang pokok yang boleh membahayakan nyawa.


“Namun, kami reda dengan apa yang berlaku dan berharap perkara seumpama itu tidak berulang,” katanya.


Jenazah mangsa disembahyangkan di Masjid HKL sebelum dibawa ke kampung halaman mangsa di Ipoh, Perak untuk dikebumikan.

MALANG ITU TAK BERBAU, MATI ITU BILA-BILA MASA SAJA.. SUDAHKAH ANDA BERSEDIA...??

myMetro | Ditinju sebelum bersalin

myMetro | Ditinju sebelum bersalin

MUAR: Penderitaan seorang wanita yang hampir melahirkan anak bertambah parah apabila perutnya ditumbuk berkali-kali oleh seorang pengawal keselamatan yang bertugas di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian 7.30 pagi itu, mangsa yang berumur 26 tahun dihantar suaminya ke hospital itu selepas mengadu sakit perut mahu melahirkan anak.


Pemangku Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Lee Choon Guan yang mengesahkan kejadian berkata, mangsa dipercayai ditumbuk suspek di dalam lif pusat perubatan berkenaan.

“Ketika kejadian, suami mangsa meletakkan kenderaan di petak parkir, manakala suspek membantu menolak mangsa menggunakan kerusi roda ke wad bersalin.


“Ketika berada di dalam lif, mangsa ditumbuk di perut beberapa kali, sebelum dia dihantar ke wad bersalin,” katanya.


Mangsa yang terkejut dan berada dalam kesakitan akibat tindakan tidak berperikemanusiaan pengawal keselamatan itu kemudiannya memaklumkan kejadian kepada suaminya yang berumur 33 tahun, sebelum suami mangsa membuat laporan polis berkaitan insiden terbabit.

Menurut beliau, polis kemudiannya menahan pengawal keselamatan terbabit untuk membantu siasatan.


“Kami merujuk suspek ke Wad Psikiatri HPSF dan dia dipercayai mempunyai masalah mental.

“Siasatan awal mendapati suspek baru dua bulan bekerja di syarikat kawalan keselamatan di HPSF,” katanya.


Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja dan sabit kesalahan boleh dipenjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.


Jurucakap HPSF pula memaklumkan bahawa mangsa selamat melahirkan bayinya tidak lama selepas kejadian dan kedua-duanya kini berada dalam keadaan sihat.