Nuffnang

Monday, September 1, 2014

Sisih anak hamil luar nikah tak selesai masalah


SHAH ALAM - Tindakan menyisihkan anak yang hamil luar nikah tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya akan menyumbang kepada gejala yang lebih buruk iaitu kes membuang bayi.

Pendakwah, Datuk Hassan Mahmud berkata, ibu bapa yang berdepan keadaan tersebut mencari jalan sebaik mungkin supaya anaknya bertaubat.

“Jika ibu bapa ambil sikap memulaukan anak, itu yang menyebabkan pembuangan bayi semakin meningkat. Bukan kita sanggup biarkan anak melakukan kesalahan, tapi mereka perlukan kita semasa berdepan masalah.

“Sebagai ibu bapa mungkin selain daripada menghantar ke sekolah yang menjaga remaja hamil luar nikah, mereka boleh cari lelaki yang hamilkan anaknya untuk dikahwinkan. Tapi kalau ibu bapa ambil inisiatif jaga anaknya mungkin lebih baik,” katanya kepada Sinar Harian.

Sejak akhir-akhir ini, banyak kes pembuangan bayi dilaporkan, dengan yang terbaharu mayat seorang bayi lelaki dipercayai baru lahir ditemui di pusat pelupusan sampah di Menggatal, Sabah, minggu lalu.

Hassan mengingatkan, Islam tidak mengajar untuk menjatuhkan hukum terhadap pesalah zina yang mengandung anak luar nikah.

“Zaman Rasulullah SAW dahulu, jika ada yang mengadu dan mahu bertaubat selepas melakukan zina sehingga mengandung anak luar nikah, mereka akan disuruh balik supaya melahirkan anak kemudian datang untuk diberikan hukuman.

“Jadi sebagai ibu bapa, sepatutnya mereka perlu lebih bermuhasabah daripada menghukum kesalahan anak sehingga sanggup menyisihkan mereka,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, didikan agama sangat penting diterapkan daripada peringkat awal supaya anak-anak tidak mudah terjerumus dengan maksiat.

“Tanggungjawab ibu bapa untuk beri didikan agama, sentiasa pantau apa yang anak-anak lakukan. Bukan bersikap ‘sporting’ yang tidak bertempat sehingga membiarkan anak-anak terjebak dengan gejala tidak sihat.

“Memang kita sedar akan pengaruh luaran yang sangat kuat, tetapi jika kita jadikan anak-anak sebagai kawan baik, pastinya banyak perkara tidak elok dapat dihindari,” kata beliau.

Jun lalu, Timbalan Menteri Pembangunan, Wanita dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun dalam sidang Dewan Rakyat berkata, sebanyak 26 kes pembuangan bayi dilaporkan di seluruh negara pada tiga bulan pertama tahun ini.

Beliau berkata, bagi menangani isu pembuangan bayi, kementeriannya kini mempunyai tujuh program antaranya Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan serta Program Pendidikan Kesihatan Reproduksi dan Sosial sebagai aktiviti kokurikulum di sekolah.

No comments:

Post a Comment