KANGAR: Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, menyambung tempoh reman ke atas seorang guru lelaki selama enam hari bagi membantu siasatan berhubung kes kematian seorang murid berusia tujuh tahun akibat didera, Ahad lalu.
Perintah berkenaan dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Sesyen Kangar, Monica Joseph terhadap suspek berusia 26 tahun bermula semalam hingga Isnin depan.
Guru terbabit yang bekerja sebagai penyelia asrama sekolah berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, di sini, bagi membantu siasatan.
Sebelum itu, pekarangan Mahkamah Kangar dipenuhi wartawan dan rakan suspek sebelum lelaki itu yang memakai baju lokap warna ungu tiba dengan kenderaan polis kira-kira jam 9 pagi.
Lelaki terbabit meninggalkan mahkamah kira-kira jam 10.45 pagi.
Dalam kejadian Khamis lalu, guru terbabit bertindak kejam apabila mengikat tangan mangsa, Saiful Syazani Saiful Sopfidee di tingkap asrama sekolah berkenaan sebelum membelasahnya.
Difahamkan, guru terbabit tidak mengendahkan walaupun mangsa merayu dan menangis supaya perbuatan itu dihentikan.
Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar, sebelum ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar dan disahkan meninggal dunia pada jam 8.50 pagi Ahad lalu.
Suspek ditahan polis selepas bapa mangsa, Saiful Sopfidee Marzuki, 34, membuat laporan di Balai Polis Alor Setar.
myMetro | Reman disambung enam hari lagi
No comments:
Post a Comment